8 Aktiviti Bermakna Semasa Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Read about 8 lockdown activities in Malay and learn 8 new words!

8 Aktiviti Bermakna Semasa Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Baca 8 aktiviti untuk PKP dan belajar 8 perkataan baharu!

Hmm, banyak juga aktiviti yang boleh dilakukan di rumah kita, ya? :D


Luangkan masa bersama-sama orang tersayang

Anda mungkin sedih kerana tidak dapat keluar berjalan-jalan pada waktu ini, tetapi anda perlu ambil peluang tempoh PKP ini untuk meluangkan masa bersama-sama orang tersayang. Jika sebelum ini anda jarang dapat berbual dengan ahli keluarga kerana sibuk bekerja, sekaranglah masanya untuk tanya khabar mereka secara mendalam. Kepada yang berjauhan dengan keluarga atau rakan, jangan bersedih, anda masih boleh luangkan masa dengan membuat panggilan video menerusi pelbagai aplikasi seperti Whatsapp, Skype dan FaceTime. Apa jua medium komunikasi anda, sama ada secara bersemuka atau melalui panggilan video, pastikan anda bertanya khabar kepada orang tersayang yang mungkin keseorangan atau sangat terkesan dari segi kewangan atau kesihatan ketika tempoh ini. Tempoh ini merupakan cabaran yang besar buat semua orang tetapi tidak dinafikan bahawa ada golongan yang lebih terkesan.

💡
luangkan: to spend (time)

Senaman gembira

Walaupun anda harus duduk rumah pada tempoh ini, anda tetap boleh bersenam (jika anda mahu)! Bersenam boleh menggembirakan anda. Anda tidak perlu memikirkan tentang berat badan anda atau berasa tertekan dengan mana-mana standard masyarakat ketika bersenam. Terdapat pelbagai senaman mudah yang boleh dilakukan di rumah mengikut kesesuaian waktu dan kebolehan anda. Ikut sahaja video senaman mudah yang tersedia di YouTube. Jika anda ingin pelbagaikan senaman di rumah, anda juga boleh mencuba berbagai-bagai tarian yang menarik. Apa sahaja bentuk senaman yang anda pilih, yang penting senaman itu menggembirakan anda!

💡
kesesuaian: suitability, appropriateness

Cuba resipi mudah dan ringkas

Semasa tempoh PKP, kita perlu menjadi kreatif dalam menyediakan hidangan di rumah. Gunakan bahan-bahan yang ada di rumah dengan sebaiknya. Hidangan tidak perlu terlalu mewah kerana percayalah, hidangan yang mudah dan ringkas kadangkala lebih menyelerakan berbanding hidangan yang rumit. Tambahan pula, pada waktu ini semua orang perlu bersedia untuk berjimat cermat. Cari sahaja resipi mudah dan ringkas, pasti banyak yang anda boleh cuba. Yang penting, jangan membazir!

Daging goreng ala Kelate ini sangat mudah untuk disediakan. Ini merupakan hidangan yang sangat dekat di hati-hati orang Kelantan. Malah, ini juga antara lauk...

💡
mewah: luxurious

Kemas rumah

Jika selama ini anda sering buntu mencari masa untuk mengemas rumah, tempoh PKP ini ialah waktu yang sesuai untuk anda melaksanakan pembersihan rumah secara besar-besaran! Selongkar almari baju, rak buku dan kabinet di rumah anda dan asingkan semua barangan yang sudah tidak digunakan atau tidak diperlukan. Anda boleh gunakan kaedah KonMari yang popular untuk membersihkan rumah anda daripada barangan yang sudah lama terbiar. Selepas anda berjaya mengasingkan barangan yang hendak dikitar semula, dibuang, atau diderma, jiwa anda pasti lebih tenang melihat ruang di rumah yang semakin luas.

💡
buntu: stumped (not knowing what to do)

Sesuaikan diri dengan rutin bekerja dari rumah

Pada waktu ini, sememangnya ramai yang terpaksa bekerja dari rumah. Mereka yang tidak biasa dengan rutin bekerja dari rumah pasti sedikit sebanyak menghadapi cabaran untuk menyesuaikan diri dengan rutin baharu ini. Jangan risau, jika anda lakukan langkah-langkah yang berkesan, anda pasti dapat menyesuaikan diri dengan baik untuk bekerja dari rumah. Carilah hikmah di sebalik persekitaran kerja yang baharu ini supaya anda lebih bersedia untuk memulakan rutin ini sepanjang tempoh PKP. Anda boleh dapatkan petua hebat untuk bekerja dari rumah secara efektif daripada pelbagai video di YouTube.

💡
hikmah: silver lining (a positive aspect in a bad situation)

Belajar bahasa atau kemahiran baharu

Setiap orang pasti ada bahasa yang sudah lama mereka mahu pelajari dan kuasai. Berita baik, ini waktu yang sesuai untuk anda mempelajari bahasa baharu. Apa sahaja bahasa tersebut, anda boleh terus membuat carian bahan di Google dan mulakan pembelajaran sendiri di rumah. Mulakan dengan perkara asas seperti senarai perbendaharaan kata yang mudah dan cara menyapa dalam sesuatu bahasa. Aplikasi seperti DuoLingo juga dapat membantu anda menguasai bahasa baharu. Jika anda tidak berminat untuk mempelajari bahasa baharu, anda boleh memanfaatkan waktu ini dengan mempelajari kemahiran baharu seperti menjahit, melukis, berkebun, memasak, menyunting video atau gambar dan sebagainya.

Aplikasi Percuma Terbaik untuk Belajar Bahasa

💡
menyunting video: to edit videos

Baca buku

Kadangkala kita terlalu sibuk dengan skrin telefon pintar dan televisyen sehingga tidak sempat untuk duduk dan membaca buku yang sudah lama kita mahu habiskan. Gunakan tempoh PKP ini untuk menghabiskan buku tersebut. Aktiviti membaca boleh menambah pengetahuan anda dan meluaskan perspektif anda terhadap sesuatu isu atau perkara. Jika anda tidak minat membaca buku, anda juga boleh melayari laman penulisan tempatan atau antarabangsa yang menyediakan akses kepada pelbagai jenis artikel mengikut hobi dan minat anda. Gunakanlah tempoh PKP ini untuk memupuk amalan membaca dalam diri kita. Masyarakat yang maju ialah masyarakat yang membaca, bukan?

Langkah-Langkah Pencucian Tangan yang Efektif

💡
melayari: to surf (the internet)

Jangan lupa basuh tangan

Walaupun anda berada di rumah pada tempoh PKP ini, anda tetap harus berdisiplin dalam menjaga kebersihan. Basuhlah tangan anda menggunakan sabun sekerap mungkin. Selepas menyentuh apa sahaja permukaan, basuhlah tangan anda supaya anda mengurangkan risiko sebarang jangkitan kuman atau virus. Anda juga boleh membersihkan permukaan barangan yang sering disentuh di rumah menggunakan pencuci permukaan yang dapat mematikan kuman dan virus. Penjagaan kebersihan ini kelihatan seperti sesuatu yang remeh tetapi percayalah amalan-amalan ini membawa impak yang besar kepada seluruh masyarakat terutamanya pada waktu kritikal sebegini.

💡
kebersihan: cleanliness

Dikarang oleh: Cikgu Hanan Zulkipli